SHAH ALAM – Program Jualan Keluarga Malaysia di semua 222 kawasan Parlimen seluruh negara secara serentak bermula Sabtu menepati matlamat kerajaan untuk meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang ketika ini.
Di Lubok Jong, dalam kawasan Parlimen Rantau Panjang Kelantan misalnya, tawaran harga murah sehingga 20 peratus memberikan senyuman kepada lebih 1,000 penduduk di kawasan itu.
Seorang penoreh getah, Mat Isa Muhammad, 59, berkata, dia menggunakan peluang tersebut untuk membeli beberapa ekor ayam, telur serta barangan lain untuk dijadikan stok sepanjang musim tengkujuh ini.
“Harga ayam paling murah pernah saya dapat hari ini iaitu RM7.90 sekilogram berbanding sebelum ini mencecah RM11 sekilogram.
“Terima kasih kerajaan kerana menganjurkan program seumpama ini dan harap ia dapat diadakan secara berterusan di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Nik Aqilah Nik Mustapa, 38, berkata, banyak penjimatan yang dibuat dengan adanya program ini.
“Hari ini saya dapat beli ikan, ayam, telur, minyak masak, tepung dan macam- macam lagi dengan harga murah.
“Gembira sangat, sebab duit yang lebih dapat digunakan untuk urusan lain kerana sekarang seperti yang kita tahu semua barang naik harga,” katanya.
-Sinar Harian