SHAH ALAM – Penduduk di negeri ini menggesa kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga kawalan barangan keperluan harian dan mentah serta melakukan pemantauan secara kerap bagi mengawal kenaikan harga yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Tinjauan Sinar Harian di Seksyen 30, di sini dan Hulu Langat pada Jumaat mendapati penduduk di kawasan-kawasan tersebut meluahkan rasa terbeban dengan kenaikan harga barang mentah seperti ayam dan sayur-sayuran serta barang keperluan asas seperti minyak dan produk tenusu.
Hasil tinjauan turut mendapati jumlah harga barangan yang dibeli turut meningkat sebanyak dua kali ganda walaupun jumlah barangan yang dibeli adalah pada kuantiti sama.
Seorang penyelia sebuah pasar mini di Seksyen 30 di sini, Fazilah Mohd Mukhsin berkata, selain daripada barangan mentah seperti ayam dan sayur-sayuran yang mengalami peningkatan harga, produk runcit lain seperti produk tenusu, roti dan makanan segera turut berdepan perkara sama.
Menurutnya, barangan tersebut mengalami peningkatan sebanyak 50 sen, manakala produk lain seperti roti turut diumumkan akan naik harga sebanyak kira-kira 30 sen.
“Setakat ini memang ada pelanggan yang mengadu tentang kenaikan harga barang kerana mereka juga sedia maklum dengan isu tersebut menerusi media sosial.
“Harga daripada pembekal memang sudah sedia mahal, jadi kita sebagai pihak ketiga tidak boleh berbuat apa-apa tentang perkara itu.
“Saya harap pihak KPDNHEP memantau harga untuk barangan keperluan supaya ia tidak membebankan rakyat iaitu pembeli,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
-Sinar Harian