KUALA LUMPUR – Perintah tahanan reman ke atas wanita dikenali Sittah Annur yang disyaki membawa doktrin ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), dilanjutkan sehingga 10 September.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lanjutan reman tiga hari itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam, selepas menerima permohonan daripada pihaknya.
Katanya, kebenaran berkenaan sekali gus membolehkan pihaknya melakukan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
“Sambung reman tiga hari lagi (terhadap suspek). Petang ini kita akan rujuk (kertas siasatan) kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dahulu.
“Kemudian, esok kita akan hantar dan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan pertuduhan,”katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Wanita berusia 39 tahun itu ditahan pada 4 September lalu selepas polis menyerbu rumahnya di Shah Alam dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan suspek ditahan reman empat hari berakhir semalam.
Ketika ditanya sama ada terdapat penemuan lain selepas barang yang dirampas ketika penahanan suspek termasuk wang RM84,721.42, Anuar berkata, tiada rampasan baharu dibuat setakat ini.
Menurutnya, suspek juga mendakwa wang dirampas adalah hasil jualan daging sejuk beku selain wang sumbangan orang ramai.
“Kita belum dapat pisahkan antara wang sumbangan dan jualan daging sejuk beku yang mana satu, itu masih dalam siasatan.
“Peniaga wanita yang sudah berumah tangga itu sedang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilapor berkata, siasatan ke atas suspek menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh aqidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan S’ttah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita terbabit mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.
“Dia turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah,” katanya.
Ajaran PMYT didedahkan secara eksklusif Harian Metro bermula 29 Ogos lalu yang disusuli serbuan polis dan tangkapan yang dikaitkan dengan ajaran berkenaan.
Untuk rekod, terdapat 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan berkenaan yang dikesan aktif sejak enam bulan lalu menerusi perkongsian di media sosial seperti FB, YouTube dan Telegram. – myMetro Online