KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan pusat beli-belah tidak berupaya untuk mengawal dan memantau masa maksimum dua jam pelanggan dalam premis berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) dalam kenyataan hari ini, berkata perkara itu disifatkan sebagai mustahil dan tidak praktikal.
Katanya, kaedah terbaik untuk mengingatkan pelanggan mengenai had masa itu dengan meletakkan papan tanda di pintu masuk dan beberapa kedai di pusat beli-belah itu, selain membuat pengumuman dari semasa ke semasa.
“Walaupun kami bersetuju sepenuhnya mengehadkan tempoh masa pelanggan di pusat-belah akan membantu penguatkuasaan PKP 3.0 dalam mengawal penularan COVID-19, ia adalah sesuatu perkara tidak praktikal, berikutan pihak pengurusan tidak berupaya kawal perkara berkenaan.
“Selain itu, kami berpendapat tidak praktikal untuk seseorang meminta pelanggan untuk menunjukkan masa masuk pusat beli-belah menerusi aplikasi MySejahtera. Pihak pengurusan pusat beli-belah juga tidak mempunyai autoriti untuk berbuat demikian.
“Ia mungkin terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa lain seperti polis. Dalam hal ini, pelanggan seharusnya bertanggungjawab untuk memastikan mereka patuh terhadap had masa berkenaan.
“Dengan itu, kami menolak sepenuhnya sebarang usaha untuk denda pihak pusat beli-belah atau kedai di dalamnya membabitkan perkara itu,” katanya.
Semalam, media melaporkan tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam mengikut SOP PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran berkuatkuasa esok.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dipetik berkata semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah wajib mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.
Menurut PPKM, rekod parkir kenderaan di pusat beli-belah menunjukkan pelanggan hanya meluangkan masa antara sejam hingga sejam setengah berbanding kebiasaan tiga jam, sejak penularan COVID-19 awal tahun lalu.
Katanya, ia menunjukkan pelanggan berada di premis berkenaan kurang daripada dua jam seperti dihadkan menerusi SOP PKP 3.0.
“Dalam pada itu, bilangan penumpang dalam kenderaan dihadkan tiga individu dan jumlah pelanggan yang berkunjung ke pusat beli-menggunakan kenderaan awam tidak signifikan.
“Maka kami berpendapat perkara itu sudah memadai dan untuk mengira bilangan pelanggan berkenaan pada satu-satu masa adalah tidak praktikal dan mustahil dilakukan.
“Kami ambil maklum pihak berkuasa mahu mengetatkan pergerakan rakyat, namun langkah berkenaan perlu praktikal dan boleh dibuat bagi mencapai objektifnya, kami mengulangi pendirian untuk bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian praktikal,” katanya. – BH Online