WOW! Kerajaan terima permohonan peruntukan kewangan berjumlah RM900 bilion untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Kena faham betul-betul. Bukan kerajaan memperuntukkan RM900 bilion, tetapi itu adalah jumlah yang dipohon oleh pelbagai pihak.
Permohonan untuk pelan pembangunan lima tahun negara itu termasuk daripada kementerian, kerajaan negeri dan agensi.
Namun tidak bermaksud kerajaan akan meluluskan semua permohonan itu kerana perlu melihat kepada kemampuan kewangan negara.
Walau apa pun permohonan peruntukan untuk RMKe-12 itu jauh lebih tinggi berbanding RMKe-11 berikutan situasi semasa akibat Covid-19.
Ini bermaksud pandemik Covid-19 sememangnya memberi impak yang sangat besar kepada negara dalam segenap aspek.

Setiap kementerian berusaha menyelamatkan industri atau sektor dibawah mereka dan sudah pasti ia melibatkan pelbagai kos.
Bagaimanapun, kita berharap tiada unsur-unsur tidak murni cuba mengambil kesempatan oleh mana-mana pihak ke atas RMKe-12.
Setiap permohonan perlu benar-benar untuk kepentingan rakyat dan negara. Bukan untuk tujuan yang bukan-bukan.
Kita bimbang pada akhirnya wang negara hanya memanfaatkan projek-projek pihak tertentu dengan alasan RMKe-12.
Tiada kompromi dalam keadaan Covid-19. Setiap dana yang ada perlu disalurkan kepada yang sewajibnya dan sepatutnya.
Mungkin perkara ini antara yang dititik beratkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sebab itu beliau beritahu kerajaan akan melihat secara menyeluruh setiap permohonan peruntukan itu terlebih dahulu.
“Keutamaan kita ketika ini adalah melawan pandemik,” tegas Dato’ Pa.
Mungkin itu juga sebab mengapa Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah beliau mewujudkan laman web khas RMKe-12 sebelum ini.
Bagi membolehkan rakyat sendiri mengemukakan cadangan dan pendapat mengenai hala tuju pembangunan negara.
Apa yang pasti Dato’ Pa sudah tetapkan RMKe-12 akan memberi tumpuan kepada usaha mencipta peluang ekonomi kepada rakyat.
Beberapa sektor ekonomi baharu telah dikenal pasti dalam RMKe-12 bagi memacu ekonomi negara ke depan.

Ini sememangnya diharap-harapkan oleh rakyat dan diperlukan negara untuk kembali memacu kesejahteraan hidup rakyat.
RMKe-12 turut diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Ia bagi membasmi kemiskinan, mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan merapatkan jurang wilayah termasuk perbezaan jurang pembangunan infrastruktur.
Kita difahamkan RMKe-12 sudah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan sebaik Parlimen dibenarkan bersidang nanti.
Semoga apa yang bakal diumumkan kelak memenuhi aspirasi rakyat dalam membantu mereka mendepani cabaran tahun-tahun mendatang. – Mynewshub.TV