ALOR SETAR – Dana dari Kumpulan Wang Amanah Kebangsaan (KWAN) dibelanjakan untuk membeli vaksin dan membayar bil utiliti serta membuka membuka dewan bagi melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan, sebanyak RM3 bilion digunakan untuk membeli vaksin dan RM2 bilion bagi menanggung kos operasi dewan dan membayar bil utiliti seperti air dan elektrik.
“Selain itu kita perlu bayar elaun serta makanan kepada petugas yang terbabit dalam PICK kerana program ini bukan dijalankan secara percuma,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di akaun Facebooknya semalam yang mempersoal ke mana perginya peruntukkan asal berjumlah RM3 bilion seperti diluluskan dalam Belanjawan 2021 bagi membeli vaksin COVID-19 bagi kegunaan 85 peratus rakyat Malaysia.
Najib membangkitkan peruntukan tambahan RM2 bilion yang menjadikan jumlah belanjawan pembelian vaksin sebanyak RM5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu.
Rabu lalu, kerajaan meluluskan undang-undang menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan PICK melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.
Sementara itu, mengulas mengenai permintaan kerajaan Sarawak yang mahu menggunakan vaksin jenis CanSino, beliau menjelaskan ia tidak boleh dibawa masuk kerana belum didaftarkan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).
“CanSino belum dapat kelulusan NRPA dan masih dalam penilaian, selagi belum dilulus dan didaftar, kita tidak boleh bawa masuk.
“Saya sudah jelaskan perkara ini kepada kerajaan negeri Sarawak, sekiranya NRPA lulus, kita boleh bagi kerana ia satu dos dan senang diguna di pedalaman,” katanya. – BH Online

