KUALA LUMPUR – Sebanyak 215,395 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama, 482,808 individu sudah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 698,203.
Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata Selangor kekal sebagai negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama vaksin iaitu 67,931, diikuti Perak (49,365) dan Sabah (45,185).
Kuala Lumpur pula merekodkan sebanyak 44,499, Sarawak (43,862), Johor (37,494), Pahang (33,588), Pulau Pinang (32,425), Kedah ((29,089), Terengganu (23,887), Negeri Sembilan (23,325), Kelantan (22,149), Melaka (12,906), Perlis (9,840), Putrajaya (4,873) dan Labuan (2,390).
Sementara itu, Sarawak mencatat jumlah individu teramai telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 iaitu 25,236, kemudian Selangor (23,515) dan diikuti Sabah (19,839).
Seterusnya adalah Kuala Lumpur (19,226), Perak (16,669), Pahang (16,550), Johor (16,497), Kelantan (15,234), Kedah (13,650), Terengganu (13,039), Negeri Sembilan (10,539), Pulau Pinang (9,330), Melaka (6,024), Perlis (4,465), Putrajaya (3,295) dan Labuan (2,287).
Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula adalah 7,501,094 atau 30.92 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,055,553 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Program akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.
Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – BERNAMA