PORT DICKSON – Suntikan vaksin COVID-19 tidak membatalkan puasa dan ia selari dengan pandangan ulama sedunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al Bakri.
“Kita sudah putuskan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan, suntikan vaksin untuk COVID-19 ini dibolehkan dan ia juga sudah diputuskan sejak dua bulan lalu.
“Hampir seluruh dunia mengiakannya dan yang terbaru pandangan Mufti Besar Arab Saudi bahawa ia tidak membatalkan puasa dan ia sejalur dengan ulama lain,” katanya.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan Tabung Haji Travel berupa komputer riba kepada 40 pelajar asnaf di Kolej Uniti Tanjong Agas di sini hari ini.
“Sumbangan ini sudah dilakukan di beberapa negeri seperti Johor, Pahang dan Perak dan akan diteruskan di negeri lain,” katanya. – BH Online