• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Monday, February 2, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Kalimah Allah Hanya Untuk Umat Islam – Sultan Selangor

oleh
23/03/2021
dalam Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menegaskan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk yang mengandungi kalimah Allah dilarang penggunaannya di Selangor.

Baginda mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat kesempurnaan. 

Titah baginda, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam. 

Bagaimanapun sekiranya perkataan ‘Tuhan’ digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan ‘God’, baginda tiada halangan atas penggunaan perkataan itu.

“Penegasan beta ini juga selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain. 

“Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah.

“Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Selangor hari ini.

Baginda merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia pada 17 Mac lalu.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan rakyat Selangor yang bukan beragama Islam supaya sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah seperti mana yang diperuntukkan mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang diwartakan pada 7 Julai 1988.

Titah baginda, larangan itu termasuk penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam bagi tujuan komersial dan menamakan tempat perniagaan atau bangunan. 

“Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, beta tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab beta seperti mana firman Allah SWT di dalam ayat 65 Surah at-Taubah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah: Yang bermaksud: “Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” 

“Apa gunanya beta menjadi Ketua Agama Islam Selangor jika beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

“Beta sentiasa menekankan supaya rakyat beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Selangor ini. 

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka beta juga menggesa penganut agama untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda berkesempatan membaca titah dizahirkan Sultan Johor dan menyokong penuh titah yang meminta Kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Baginda turut menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan itu dan turut menyeru perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain (MAIN) bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam. – BH Online

Tags: kalimah AllahSultan SelangorSultan Sharafuddin Idris Shahumat Islam
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Umat Islam Diseru Kukuhkan Iman Sempena Maal Hijrah

Umat Islam Diseru Kukuhkan Iman Sempena Maal Hijrah

27/06/2025
0

KUALA TERENGGANU - Umat Islam diseru agar memperkukuhkan keimanan dan mengambil semangat hijrah untuk memperbaiki diri serta membina masyarakat yang...

Sultan Selangor Perkenan Terima Zakat Perniagaan Pintas Utama RM3 Juta

Sultan Selangor Perkenan Terima Zakat Perniagaan Pintas Utama RM3 Juta

16/03/2025
0

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima serahan zakat perniagaan untuk Lembaga Zakat Selangor (LZS) daripada Syarikat...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd