KUALA LUMPUR – Seramai 1,111 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.
Kesalahan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran serta tidak menjaga penjarakan fizikal adalah antara kesalahan yang tertinggi direkodkan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 1,040 individu yang ditahan dikenakan kompaun manakala 71 lagi individu ditahan reman.
“Kesalahan tertinggi adalah melakukan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran dengan 306 kesalahan dan tidak menjaga penjarakan fizikal dengan 300 kesalahan.
“Kesalahan lain yang dikesan adalah premis gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri pelanggan dengan 107 kes, tidak memakai pelitup muka dengan 97 kes, keluar rumah tanpa alasan munasabah dengan 68 kes, membawa penumpang berlebihan 58 kes, aktiviti pusat hiburan 55 kes, premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran dengan 11 kes dan lain-lain kesalahan iaitu sebanyak 109 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam operasi Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia itu, sebanyak 78,369 pemeriksaan dijalankan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP. – BH Online