KUALA LUMPUR – Proses pelalian COVID-19 akan dijalankan di 605 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain itu, PPV sementara seperti di stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai, universiti dan kemudahan bersesuaian akan dibuka mengikut keperluan.
Berdasarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bekalan pelalian akan ditempatkan di 54 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara yang dilengkapi kemudahan bersesuaian, bagi menjamin kualiti bahan berkenaan sebelum diberikan kepada penerima.
Penghantaran dan penyimpanan vaksin turut membabitkan operasi bersepadu pelbagai agensi kerajaan merangkumi Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak berkuasa keselamatan yang lain.
Bagi menjamin kelancaran aspek pelaksanaan, KKM berjaya melakukan percubaan penuh di Klinik Kesihatan Belaga, iaitu kawasan pedalaman di Sarawak dan Hospital Bintulu, pada 29 hingga 30 Januari lalu sebagai langkah persiapan rapi sebelum proses imunisasi.
“Platform bersepadu merangkumi Sistem Maklumat Farmasi, Sistem Pengurusan Vaksin (VMS), MySejahtera dan papan pemuka Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan digunakan untuk memastikan pelaksanaan yang cekap, tepat serta membantu pemantauan dalam masa sebenar,” kata dokumen disediakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan VAksin COVID-19 (JKJAV) yang diterbitkan, hari ini. – BH Online

