Tuesday, June 18, 2024

Creating liberating content

MAIWP Depositkan Zakat Kepada...

PUTRAJAYA - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendepositkan bayaran zakat kepada kira-kira...

‘Saya Harap Saya Tak...

PENYANYI Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, mengakui dirinya berharap agar...

Persahabatan Utuh Punca Spider...

WALAUPUN sudah dua dekad menapak dalam industri hiburan negara, keutuhan yang dimiliki oleh...

PAS Temui Tengku Adnan...

KUALA LUMPUR - PAS Putrajaya menemui Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan...

Ezra Bebas Tuduhan Terbit Buku Bertentangan Hukum Syarak

PETALING JAYA – Setelah tujuh tahun berdepan pertuduhan menerbitkan buku yang didakwa bertentangan dengan hukum syarak, Pengarah ZI Publications Sdn Bhd, Mohd Ezra Mohd Zaid hari ini dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah, Shukran Yusof membuat keputusan itu selepas menolak permohonan pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan Mohd Ezra daripada pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Shukran berkata selepas menimbangkan hujahan lisan dan bertulis kedua-dua pihak, beliau mendapati jika Mohd Ezra dilepas tanpa dibebaskan keputusan itu akan menjadi sesuatu yang bersifat akademik.

“Tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh pihak pendakwaan untuk melakukan siasatan dan sebagainya kerana kes ini tidak sah bermula daripada penangkapan yang mana Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie Selangor untuk mendakwa Mohd Ezra dengan pertuduhan itu.

“Jadi, sekiranya saya meneruskan apa yang dipohon maka itu akan menjadi sia-sia sahaja. Oleh itu, saya melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah Membenarkan permohonan kedua pendakwaan untuk melucuthakkan 180 buku berjudul ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ daripada tertuduh atau pihak yang berkaitan dan diserahkan kepada Ketua Penguatkuasa Agama untuk tindakan lanjut.

Mohd Ezra didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 2013 atas pertuduhan menerbitkan buku karya penulis warga Kanada iaitu Irshad Manji di premis perniagaan ZI Publications, B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3 di sini.

Pada 29 Mei 2012, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu premis itu serta merampas 180 buku  terjemahan terbabit dan Mohd Ezra turut ditahan.

ZI Publications dan Mohd Ezra kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar serbuan yang  dilakukan JAIS dan pada 7 Mac 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Mohd Ezra dan membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie Selangor untuk mendakwanya di Mahkamah Syariah atas pertuduhan itu.


Pada 29 September lepas, pihak pendakwaan syariah Selangor tidak dapat meneruskan kes ke atas Mohd Ezra susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Shukran juga berkata mahkamah menolak permohonan pendakwaan bagi perintah tambahan agar tertuduh atau ejennya dilarang mengulas kes itu dalam apa-apa bentuk media atau secara lisan, bertulis, visual atau cara lain demi menghormati integriti di antara dua sistem kehakiman sivil dan syariah.

“Merujuk kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kebebasan untuk bersuara, selagi penyataan tersebut tiada unsur fitnah ia dibenarkan,” katanya yang turut mengarahkan wang jaminan sebanyak RM1,000 dikembalikan kepada Mohd Ezra.

Kes itu dikendalikan Pendakwa Syarie Zamniazura Mohd Sarin dan Khafizah Ahmat Khairi manakala peguam Zulkifli Che Yong mewakili Mohd Ezra.

Pada 9 Disember lepas, pendakwaan mengemukakan beberapa permohonan antaranya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes sivil yang difailkan Mohd Ezra berhubung penerbitan buku tersebut.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, Mohd Ezra berkata beliau gembira kerana kes tersebut sudah selesai.

“Saya berterima kasih kepada peguam yang mewakili saya dalam kes ini dan saya berasa lega kerana kes ini telah selesai namun masih ada satu perkara yang belum selesai di mahkamah sivil untuk ganti rugi,” katanya. – BERNAMA

Kategori