PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menukar jadual imunisasi Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak di Klinik Kesihatan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat bermula awal November.
Bagaimanapun, penukaran penjadualan itu bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin di fasiliti kesihatan KKM.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya sebelum ini memberikan vaksin lima serangkai kepada kanak-kanak dan kini ia ditukar kepada enam serangkai.
“Vaksin jenis enam serangkai ini lebih selamat dan berkesan berbanding sebelum ini serta lebih menjimatkan masa kerana jumlah suntikannya juga dikurangkan daripada tujuh suntikan ke lima sahaja.
“Vaksin berkenaan meliputi difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, seperti vaksin lain yang berdaftar di Malaysia, kesan advers susulan imunisasi (adverse events following immunization, AEFI) vaksin berkenaan dipantau oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM.

“Sejak ia digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia, tiada sebarang isu keselamatan serius yang dilaporkan.
“Vaksin ini digunakan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak 2013 dan terbukti selamat, namun ia adalah vaksin yang baru digunakan bawah Program Imunisasi Kebangsaan di fasiliti kesihatan KKM,” katanya.
Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM akan menjalankan pemantauan AEFI bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan.
“Untuk tujuan berkenaan, ibu bapa perlu melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan.
“Kesan yang dialami selepas mengambil suntikan itu adalah ringan seperti merah di tempat suntikan.
“Ibubapa boleh melaporkan kesan advers secara terus kepada NPRA melalui laman sesawang npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF),” katanya.
Sebarang kemusykilan mengenai pertukaran vaksin lima serangkai kepada vaksin enam serangkai ini, boleh dibuat dengan menghubungi KKM di talian 03- 8883 4042/03-8883 4504 pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang, atau dapatkan penjelasan lanjut di Klinik Kesihatan yang berdekatan. – BH Online