KUALA LUMPUR – Sebanyak RM100 juta disediakan kerajaan dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk pembiayaan skim pinjaman komputer riba kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, skim dikenali Skim BSN MyRinggit-i COMSIS itu ditawar kepada mereka yang memperoleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Bagi terus menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak mereka, pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, pengajian tinggi diperuntukkan RM14.4 bilion termasuk RM50 juta bagi membaik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti awam.
Katanya, bagi memastikan kesalinghubungan internet di IPT juga, sebanyak RM50 juta ringgit disedia menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network atau MYREN kepada 500Mbps hingga 1 OGbps.
Selain itu, RM45 juta disediakan untuk memperkasa pendidikan khas negara. – myMetro Online
