KUALA LUMPUR – Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan agar sistem pilihan raya baharu berbentuk sistem senarai parti diperkenalkan di negara ini bagi menangani masalah lompat parti dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih.
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) berkata menerusi kaedah itu, pemilihan dibuat berdasarkan parti, bukan calon yang dipertandingkan oleh parti seperti amalan sekarang.
Menerusi sistem senarai parti ini, pengundi hanya perlu memilih parti di dalam kertas undi dan parti yang menang pada pilihan raya itu akan menentukan wakil rakyat yang akan mengisi kerusi tersebut, katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, jika wakil rakyat yang dipilih memutuskan untuk keluar parti, kerusi tersebut masih kekal di tangan parti yang memenangi pilihan raya.
“(Sebagai contoh) bila saya keluar daripada Barisan Nasional, maka parti saya boleh pilih orang lain pula untuk jadi ahli Parlimen, jika ini kita lakukan tak berbangkit soal (lompat parti).
“Jika kita pinda akta sebegini, bukan sahaja kita boleh halang daripada runtuhnya sesebuah kerajaan, (tetapi) kita juga boleh banteras rasuah, kerana (jika bertanding individu), wakil rakyat boleh cari duit dan terbuka untuk dirasuah (jika berlaku krisis),” katanya. – BERNAMA

