Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Saya Tak Sertai PPBM,...

KEMAMAN - Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini menyatakan...

Mulakan Tahun Baharu Dengan...

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri mengajak rakyat...

Orang Utan Di Perth...

PERTH - Spesies primat bernama Puan yang berusia 60 tahun dan kini menetap...

SPRM Salah Pakaikan Boon...

KUALA LUMPUR - DAP membantah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memakaikan Exco...

Kes SRC: Nasib Najib Ditentukan Selasa Ini

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia, dan mungkin juga penduduk dunia, menanti dengan penuh debaran tarikh 28 Julai atau Selasa ini untuk mengetahui nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. 

Tarikh keramat itu bakal dicatat sebagai detik penting dalam sejarah kehakiman Malaysia yang menyaksikan Mahkamah Tinggi memutuskan sama ada Najib, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-67 pada Khamis lepas, didapati bersalah atau sebaliknya. 

Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Najib, perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menjadi tumpuan pada Selasa ini kerana beliau bakal menentukan nasib Najib apabila memikul tanggungjawab untuk membuat keputusan dalam kes itu, yang dijangka diumumkan pada kira-kira 10 pagi.

Pada 5 Jun lepas, beliau menetapkan 28 Julai untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.

Pada 11 November 2019, hakim itu telah mengarahkan Najib membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membukti satu kes prima facie terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan antara lain memutuskan bahawa Najib telah menggunakan kedudukan atau kuasanya bagi mendapatkan ganjaran dan menggunakan dana SRC sebanyak RM42 juta, yang beliau mempunyai kepentingan, untuk kepentingan peribadi dan manfaat sendiri.

Hakim itu juga memutuskan bahawa tertuduh mempunyai pengaruh yang besar di samping kuasa penuh dalam SRC dan pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur-unsur pecah amanah oleh Najib yang melibatkan dana syarikat itu.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd Nazlan berkata hasil RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah berasal daripada aktiviti haram seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan CBT.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya.

Pembelaan memulakan kesnya dengan Najib membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat yang menyentuh, antara lain, pelantikan pengarah dana pelaburan negara 1MDB dan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Najib, yang juga Menteri Kewangan ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri, turut berbicara panjang tentang penubuhan 1MDB, peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam penubuhan TIA yang kemudian dikenali sebagai 1MDB, serta idea di sebalik penubuhan SRC.

Ahli Parlimen Pekan itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau “terkejut” semasa menerima RM42 juta daripada SRC dalam akaun bank peribadinya pada Disember 2014 dan Februari 2015 namun beliau tidak memulangkan wang itu kerana ingin melihat hasil siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.

Dalam keterangannya, Najib juga mengaku memasukkan perkataan bersetuju dalam minit mesyuarat di atas sepucuk surat daripada SRC yang meminta persetujuan beliau sebagai Menteri Kewangan bagi pinjaman sebanyak RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Najib berkata beliau memasukkan perkataan itu ke dalam minit mesyuarat untuk perhatiannya sendiri bagi menunjukkan sokongan kepada permohonan pinjaman oleh SRC dan menambah bahawa ketika itu, perkara tersebut adalah isu semasa dan telah menarik perhatiannya, jadi beliau memutuskan untuk memanjangkan sokongan kepada permohonan yang dikemukakan SRC pada 3 Jun 2011.

Bagaimanapun, katanya perkataan bersetuju itu tidak membawa maksud bahawa ia adalah muktamad dan tidak boleh diubah.

Turut memberi keterangan pada peringkat pembelaan ialah dua bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Tan Sri Dzulkfili Ahmad serta Latheefa Koya dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. 

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, Datuk V. Sithambaram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Perbicaraan itu bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Semasa perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 eksibit termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib, dokumen transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger berhubung transaksi bekas perdana menteri itu. 


Saksi yang memberi keterangan termasuk Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWAP, Azian Mohd Noh; bekas anggota lembaga pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail dan Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin.

Turut memberi keterangan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping; bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan pegawai penyiasat, Rosli Husain. 

Pada mulanya Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 di mana beliau berdepan tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Ogos 2018, beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sekali lagi dan berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan kesemua pertuduhan digabung dalam satu perbicaraan.

Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai seorang ejen dan penjawat awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng RM27 juta dan RM5 juta daripada dana sebanyak RM4 bilion milik SRC.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion milik SRC di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan adalah di bawah Seksyen 409 Kanun  Keseksaan yang memperuntukan hukuman maksimum penjara 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya, Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, didakwa menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan RM42 juta menerusi penglibatan atau penyertaannya dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman yang dipohon daripada KWAP oleh SRC yang berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012 mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta hasil aktiviti haram menerusi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Tepat Masa (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad beliau bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, AmBank Group Building, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26  Disember 2014, dan 10 Februari 2015.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan jika sabit kesalahan, bekas perdana menteri itu berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Selain tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC, Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan ganjaran sebanyak RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Kes itu masih dibicarakan di peringkat pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. 

Najib turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara sebelum laporan itu sekali lagi dimuktamad dan dibentang di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu bagi melindungi beliau daripada diambil tindakan. Kes itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Najib juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC dan ia masih di peringkat pengurusan kes di hadapan Mohamed Zaini.

Beliau turut berdepan enam pertuduhan CBT membabitkan RM6.6 bilion bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkaitan urusan membabitkan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) di hadapan Mohd Nazlan. Kes itu belum dibicarakan.

Secara keseluruhan, Najib berdepan 42 pertuduhan. – BERNAMA

Kategori