TREND kes baru COVID-19 di negara kita menunjukkan penurunan dan diharapkan akan terus berkurangan kepada satu angka dan mencapai tahap sifar.
Dari sudut ilmu kesihatan awam, untuk memastikan keberkesanan kawalan penyakit berjangkit, kita perlu menunggu sehingga dua tempoh inkubasi sebelum boleh mengisytiharkan sesuatu keadaan atau lokasi itu bebas daripada wabak.
Bagi COVID-19 tempoh inkubasinya ialah 14 hari. Ini bermakna wabak COVID-19 ini hanya boleh diisytiharkan berakhir sekiranya tiada kes baharu dilaporkan sepanjang 28 hari selepas kes terakhir yang direkodkan.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
Realitinya tidak semudah yang digambarkan. Ini kerana kita menghadapi situasi wabak global (pandemik) yang telah mula menunjukkan implikasi, terutamanya terhadap sosioekonomi di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Bagaimanapun, kita harus akur bahawa kesihatan dan keselamatan awam perlu diutamakan. Apalah gunanya jika rakyat kembali bekerja, sektor ekonomi hidup semula, rakyat bebas bergerak ke mana-mana tetapi ia hanya sementara kerana virus COVID-19 boleh menular semula.
Walaupun Malaysia kelihatan hampir sampai ke penghujung wabak, pakar kesihatan awam amat bimbang sekiranya berlaku gelombang baharu jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditarik balik secara tergesa-gesa.
Penarikan balik PKPB perlu dilakukan berpandukan enam syarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pertamanya, sesebuah negara dapat memastikan penyebaran penyakit dalam keadaan terkawal, dan terdapat sistem kesihatan yang berupaya mengesan, menguji, mengasingkan serta merawat setiap kes dan mengesan setiap kontak.
Selain itu, risiko titik panas telah diminimumkan di tempat–tempat yang rentan seperti pusat jagaan serta terdapat langkah pencegahan jangkitan di lokasi-lokasi penting seperti sekolah dan tempat kerja.
Seterusnya, risiko kemasukan kes impot dapat ditangani dan syarat terakhir adalah masyarakat negara tersebut terdidik sepenuhnya tentang kaedah pengawalan dan pencegahan jangkitan serta bersedia untuk menjalani kehidupan dalam keadaan normal yang baharu.
Enam syarat WHO tersebut perlu diteliti dan disesuaikan dengan konteks Malaysia dalam menghasilkan prosedur operasi standard (SOP) penarikan balik PKPB.
Kementerian Kesihatan beserta pakar perubatan kesihatan awam dan pakar perubatan penyakit berjangkit di negara ini perlu menganalisis situasi, dan melihat unjuran secara holistik bersekali dengan realiti sosio-ekonomi serta tingkahlaku masyarakat.
Hasil analisis tersebut perlu dibincang bersama pihak berkepentingan yang lain. Seterusnya, semua pihak yang terlibat perlu bersama-sama merangka strategi penarikan balik PKPB selepas melaksanakan penilaian risiko dan penyenaraian keutamaan.
Masyarakat perlu menjadikan penjarakan sosial, amalan etika batuk dan bersin serta kerap mencuci tangan sebagai satu kelaziman. Pihak pengurusan dan majikan pula perlu menyediakan kelengkapan untuk membolehkan amalan berkenaan dipraktikkan di tempat kerja.
Majikan harus menyediakan fasiliti kebersihan diri dan memastikan semua pekerja yang hadir bekerja adalah sihat. Ruang kerja, ruang rehat dan ruang makan yang secukupnya perlu disediakan untuk membolehkan penjarakan sosial diamalkan. Kreativiti perlu digunakan untuk mewujudkan penjarakan sosial sekiranya mempunyai ruang yang terhad.
Di masjid, surau, gereja dan tempat ibadah lain pula, pihak pengurusan perlu memastikan kemudahan mencuci tangan yang lengkap atau pembersih tangan diletak di tempat yang sesuai. Hadirin perlu sentiasa diingatkan untuk mengamalkan penjarakan sosial bukan sahaja ketika berada di dalam tempat ibadah, malahan juga di luar premis iaitu ketika mereka sampai dan pulang.
Bagi sekolah pula, pihak pengurusan perlu kreatif untuk memastikan penjarakan sosial diamalkan setiap masa dalam kalangan warga sekolah. Keutamaan diberi kepada kawasan tumpuan pelajar seperti kantin, tapak perhimpunan serta kelas.
Pihak pengurusan sekolah juga perlu memastikan sabun sentiasa disediakan di sinki-sinki, selain menasihatkan pelajar yang tidak sihat untuk tidak hadir ke sekolah.
Untuk pekerja dan masyarakat amnya, beberapa mekanisme perlu diwujudkan bagi mengelakkan kesesakan di dalam pengangkutan awam terutamanya ketika pergi dan pulang dari bekerja. Perlu ada tatacara untuk memastikan penjarakan sosial dan pengekalan kebersihan di dalamnya.
Semua ruang aktiviti manusia seperti tempat kerja, rumah ibadat, sekolah, pusat membeli-belah atau kenderaan awam perlu dinyahcemar dengan kerap. Tumpuan perlu diberikan kepada tempat yang berisiko tinggi untuk tercemar seperti tombol pintu, tiang pemegang dalam tren, pemegang troli, pemegang eskalator, butang lif, karpet dan sejadah masjid.
Pemansuhan PKPB adalah suatu yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat. Namun, persediaan yang sempurna dan menyeluruh perlu dilakukan oleh kerajaan, majikan dan pihak pengurusan, manakala masyarakat perlu turut bersedia mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian bagi memastikan penyebaran jangkitan COVID-19 tidak berulang.
DR HUDA ZAINUDDIN: Pensyarah Perubatan, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Kesihatan, UPM. Bidang: Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Pekerjaan)
DR AIDALINA MAHMUD: Pensyarah Perubatan, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Kesihatan, UPM. Bidang: Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Pengurusan Kesihatan)

