PUTRAJAYA – Pihak yang terlibat dalam perniagaan makanan secara dalam talian diingatkan supaya mengamalkan kebersihan diri dan mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak berlakunya kes keracunan makanan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak terlibat termasuklah pengusaha, pengendali dan penghantar makanan.
Menurutnya, langkah itu perlu bagi memastikan yang disediakan kepada pengguna adalah selamat.
Anda peniaga? Mencari platform pengiklanan Online? Mula dengan kami ..Website Mynewshub, FB (2.96 juta followers), Instagram dan Twitter. Hubungi kami http://www.wasap.my/60176070516
“Pada tahun 2019 terdapat sebanyak 516 kejadian keracunan makanan yang melibatkan 16,583 kes berpunca dari pengendalian makanan yang tidak bersih dan selamat.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 34 kejadian keracunan makanan telah berlaku pada bulan Ramadan 2019 yang melibatkan 1,032 kes.
“Sehubungan itu, orang ramai hendaklah sentiasa memastikan keselamatan makanan semasa membeli atau menyediakan makanan untuk diri sendiri dan ahli keluarga,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan di rumah.
“Sentiasa amalkan konsep lihat, hidu dan rasa semasa bulan Ramadan sebelum menikmati juadah berbuka dan bersahur bagi memastikan makanan tersebut selamat di makan,” katanya.
Katanya, KKM juga akan terus memantau perkembangan kejadian Covid-19 melalui segala maklumat yang diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari masa ke semasa.