KUALA LUMPUR – Kedai serbaneka 24 jam, 7 Eleven memaklumkan operasi cawangannya di seluruh negara dihadkan dari jam 7 pagi hingga jam 11 malam, bermula hari ini hingga 31 Mac.
7 Eleven Malaysia menerusi Facebook hari ini memaklumkan, tindakan mengehadkan tempoh operasi itu adalah bagi menyokong seruan kerajaan yang mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini.
Jelasnya, tarikh dan tempoh waktu itu tertakluk kepada saranan dan perubahan yang mungkin dimaklumkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Pelanggan yang dihormati, kami menyokong seruan kerajaan untuk menangani wabak yang kini melanda.
“Justeru, kami akan mengehadkan waktu operasi harian cawangan kami dari jam 7 pagi ke 11 malam bermula 21 Mac sehingga 31 Mac depan,” kata kenyataan itu.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh Malaysia mulai Rabu lalu hingga 31 Mac ini susulan penularan wabak COVID-19 di negara ini. – BH Online