SINGAPURA – Singapura meningkatkan tahap respons wabak koronavirus daripada kategori kuning kepada jingga, sama dengan tahap ketika penularan SARS pada 2003, dengan 3 lagi kes positif yang dilaporkan tiada kaitan dengan kes lain atau sejarah kunjungan ke China, menurut Reuters.
Ini menjadikan keseluruhan 33 kes disahkan positif koronavirus di negara itu setakat ini.
Bernama melaporkan 2 daripada kes terbaru itu masing-masing berada di Malaysia pada 6, 11 dan 17 Januari serta 22 hingga 29 Januari lalu.
Amaran jingga bermakna virus itu adalah teruk dan mudah berjangkit daripada manusia kepada manusia dan kali terakhir ia mencapai tahap itu ketika penularan influenza H1N1 pada 2009 hingga 2010.
SARS meragut lebih 30 nyawa di Singapura dan beratus lagi di seluruh dunia.
“Disebabkan terdapat beberapa kes jangkitan tempatan tanpa sebarang kaitan dengan kes terdahulu atau sejarah lawatan ke China, kami meningkatkan penilaian risiko kami,” kata Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini sambil menambah syarikat di negara itu perlu bersedia untuk “penularan secara meluas dalam komuniti”.
Amaran tertinggi ialah merah yang bermakna penularan virus secara meluas.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Singapura menasihatkan penganjur acara membatal atau menangguhkan majlis berskala besar yang tidak penting.
Tetapi, pertunjukan udara Singapura akan diteruskan minggu depan walaupun penganjur mungkin mengehadkan kemasukan orang awam.
Penganjur yang ingin meneruskan juga acara mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk pemeriksaan suhu badan, memantau gejala pernafasan seperti batuk atau selsema dan menyekat kemasukan individu tidak sihat.

