KUALA LUMPUR – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mendakwa pengurusan universiti itu cuba menutup kebenaran dengan berdalih dalam isu sukarelawan pelajar tempatan mengendalikan pelajar China yang baru pulang dari negara berkenaan.
Presiden KMUM, Mohd Akmal Hazieq, berkata pengurusan UM tidak sepatutnya menggunakan alasan sukarelawan bagi membenarkan tindakan mereka menggunakan mahasiswa tempatan, walaupun untuk tujuan pendaftaran.
“Walaupun mahasiswa tempatan Kolej Kediaman ke-10 (KK10) terbabit sebagai unit pendaftaran pada awalnya, namun mereka diarah melakukan tugas lain yang sepatutnya dikendalikan pengurusan UM atau pihak lebih profesional dalam mengendalikan coronavirus, COVID-19.
“Sukarelawan mahasiswa tempatan UM tidak sepatutnya terbabit dalam mengendalikan pelajar antarabangsa ketika isu COVID-19, walaupun untuk urusan pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mohd Akmal mendakwa, sukarelawan mahasiswa terbabit juga diarah mengangkat 500 bungkusan makanan setiap kali waktu makan untuk diedarkan kepada pelajar dari China yang jelas bertentangan dengan tugas asal mereka.
Katanya, lebih mengecewakan permintaan sukarelawan terbabit supaya kakitangan Pusat Teknologi Maklumat (PTM) memasang kemudahan seperti komputer riba dan rangkaian lain bagi tujuan pendaftaran, tidak dilayan atas alasan ‘bimbang dijangkiti COVID-19’.
“Kakitangan PTM tidak mahu menyediakan kelengkapan pendaftaran kerana takut coronavirus. Apakah mereka sanggup membiarkan mahasiswa tempatan UM dijangkiti virus terbabit?
“Bagaimanapun, dengan sedikit ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh mahasiswa tempatan ini, mereka berjaya mencipta sendiri sistem pendaftaran untuk 500 pelajar China, menyediakan kelengkapan sendiri seperti komputer dan memasang sendiri pendawaian serta rangkaian,” katanya.
Beliau menegaskan, semua kenyataan yang dikemukakannya diterima terus daripada mahasiswa yang bertugas sebagai sukarelawan.
Justeru, beliau menggesa pengurusan UM supaya memohon maaf kepada mahasiswa terbabit kerana isu keselamatan dan kesihatan mereka bukan sesuatu yang boleh dikompromi.
“Saya meminta pengurusan UM jangan berdalih lagi dan menuntut supaya semua mahasiswa tempatan ini diberikan jaminan dijalankan pemeriksaan kesihatan, dijamin segala kos perubatan jika didapati dijangkiti coronavirus serta membayar mereka atas kerja yang mereka lakukan.
“Jika perkara ini dikatakan tidak benar, KMUM sedia menampilkan segala bukti dan saksi untuk dibawa kepada pengetahuan Kementerian Kesihatan dan saya meminta supaya mahasiswa yang memberi maklumat tidak ugut untuk dikenakan sebarang tindakan bagi menakutkan mereka,” katanya. – BH Online