PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 hari ini enggan menjawab soalan perundangan dan perlembagaan yang dikemukakan Anwar Ibrahim berkaitan kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Hakim Nallini Pathmanathan, yang menyampaikan keputusan majoriti itu, berkata soalan-soalan itu abstrak, akademik dan hipotetikal.
“Pemohon (Anwar) tidak menunjukkan MKN mengganggu kehidupannya,” kata Nallini.
Katanya, oleh kerana tiada kontroversi, maka ia bukan kes yang wajar untuk panel hakim tentukan persoalan undang-undang yang dibangkitkan.
“Oleh itu, kami serahkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi untuk dibatalkan,” tambahnya.
Nallini berkata Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) tidak mengubah Mahkamah Persekutuan ke mahkamah perlembagaan.
“Tiada kebebasan penuh untuk merujuk dan menentukan semua soalan perlembagaan bagi setiap kes di Mahkamah Persekutuan,” tambahnya.
Hakim lain dalam kumpulan majoriti itu ialah Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed; Abang Iskandar Abang Hashim; Mohd Zawawi Salleh; dan Idrus Harun.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah dalam kumpulan minoriti.
Kedua-duanya berkata MKN tidak berperlembagaan kerana ia tidak digubal mengikut keperluan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Tengku Maimun berbeza dengan Wong dalam menyatakan MKN tidak mencabuli hak perlembagaan untuk kebebasan bergerak.
Wong berkata CJA dari segi perlembagaaan mewajibkan mahkamah tertinggi itu untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Anwar.
Beliau berkata pindaan persetujuan diraja pada 1983, 1984 dan 1994 tidak mencabuli struktur asas Perlembagaan.
“Persetujuan Agong masih sebahagian proses perundangan,” tambahnya.
Tengku Maimun bersetuju dengan Wong mahkamah tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana undang-undang tidak sah masih tidak sah.
“Oleh itu, pada pandangan saya, rujukan ini tidak abstrak, akademik, atau hipotetikal,” tambahnya.
Beliau berkata membenarkan cabaran undang-undang untuk dibicarakan selaras dengan kedaulatan undang-undang.
“Kes ini bukan satu contoh ketuanan badan kehakiman tapi ketuanan perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata Anwar mempunyai kedudukan undang-undang untuk menimbulkan perkara ini kerana ia kes berkepentingan awam.
Anwar memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, Seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984, dan Seksyen 9 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994 terbatal dan tidak sah atas sebab ia melanggar struktur asas Perlembagaan.
Beliau juga mahu mahkamah mengisytiharkan Akta MKN tidak mengikut perlembagaan, terbatal dan tidak sah atas sebab ia menjadi undang-undang menurut pindaan yang tidak mengikut perlembagaan, tidak diperbuat menurut Perkara 149, dan mencabuli kebebasan bergerak seperti yang dijamin bawah Perkara 9(2).
“Parlimen harus semak MKN memandangkan ada tentangan yang kuat daripada Tengku Maimun dan Wong,” kata presiden PKR itu kepada pemberita kemudian.
Peguam J Leela, yang tampil bersama Gopal Sri Ram, berkata, kes itu akan disebut di hadapan seorang hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Februari.
Peguam Persekutuan Alice Loke, daripada bahagian sivil di Jabatan Peguam Negara, tampil mewakili kerajaan. – FMT