KUALA LUMPUR – Dua belas individu yang didakwa menyokong LTTE termasuk ADUN Gadek, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaren akan dibawa ke mahkamah sebelum dibebaskan.
Sumber pendakwaan memberitahu pihak pendakwaan akan memaklumkan keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menghentikan prosiding terhadap semua tertuduh kepada mahkamah semasa sebutan kes itu nanti.
Sumber berkata pihak pendakwaan akan memohon kepada mahkamah untuk menarik balik pertuduhan terhadap semua tertuduh seterusnya memohon mereka dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.
“Itu adalah prosedurnya,” kata sumber itu dan menambah mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan untuk kes itu dan barulah semua tertuduh akan dibawa ke mahkamah untuk dibebaskan.
Sumber itu bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya masih belum mendapat tarikh bagi sebutan kes tersebut.
Thomas dalam kenyataan media 11 muka surat, memutuskan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan tersebut.
“Oleh yang demikian dalam menjalankan kuasa budi bicara saya menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, saya memutuskan untuk memberhentikan prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Dua belas tertuduh itu ialah ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; ahli perniagaan, B Subramaniam, 58; penjaga stor, S Thanagaraj, 27; Saminathan, 35; Gunasekaren, 61; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau di Melaka, S Chandru, 39; juruteknik, S Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M Pumugan, 30; guru sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pemandu teksi V Balamurugan, 38; pengutip besi buruk A Kalaimughilan, 29; dan penghantar surat S Teeran, 39.
Semua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan. Di bawah Sosma mereka tidak dibenar diikat jamin.
Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pada 29 dan 31 Oktober 2019, di beberapa buah negeri termasuk Kuala Lumpur.
Mereka antaranya menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam suatu majlis, memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam media sosial dan pertuduhan memiliki, mengedar dan memaparkan bahan-bahan berkaitan LTTE.
Semua kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kes di bawah Sosma akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Kes mereka belum dibicarakan dan masih di peringkat pengurusan kes. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes itu.