BUTTERWORTH – Malaysia berjaya menghantar pulang 150 kontena sisa pepejal plastik dianggarkan 3,373 tan metrik, ke negara asal pengeksport sejak suku ketiga tahun lalu.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata penghantaran balik kontena yang kebanyakannya ke negara maju itu tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.
Beliau berkata, semua kontena itu dihantar melalui tiga pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Barat dan Utara Klang, Pulau Pinang serta Sarawak.
“Kos penghantaran balik kontena sisa pepejal plastik ini ditanggung oleh pihak pengimport atau syarikat perkapalan, dan ini adalah yang pertama kali dalam sejarah negara ia dihantar balik secara skala besar.
“Kerajaan memandang serius terhadap isu kemasukan sisa plastik haram ke negara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tong sampah dunia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Bee Yin melihat cara pengendalian dan proses penghantaran semula kontena sisa pepejal plastik ke negara asal di Pelabuhan Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar dan EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.
Daripada 150 kontena sisa pepejal itu, 40 kontena membabitkan pengeksport dari Perancis (40), United Kingdom (42), Amerika Syarikat (17), Kanada (11), Sepanyol (10) dan Hong Kong dengan sembilan kontena.
Ia diikuti dengan lima kontena dari Jepun, Singapura (4), Portugal (3), China (3) manakala Bangladesh, Sri Lanka dan Lithuania masing-masing dengan satu kontena.
Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, dianggarkan 110 kontena sisa pepejal plastik lagi akan dihantar pulang ke negara pengeksport sebelum pertengahan tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 60 kontena adalah daripada Amerika Syarikat, Kanada (15), Jepun, (14), United Kingdom (9), Belgium (8), dan lain-lain negara.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang penolakan daripada negara-negara terbabit, semuanya memberi respon dan kerjasama dengan baik,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan akan melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Penguatkuasaan Sisa Plastik (HS 3915) bulan depan bagi menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaan di lapangan oleh agensi berkaitan.
Katanya, prosedur itu dijangka akan membabitkan JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp.) dan pihak berkuasa pelabuhan. – BH Online