ALOR SETAR – Seorang bayi perempuan maut selepas kereta dipandu bapanya terbabas ke dalam parit berdekatan sawah di Jalan Titi Haji Idris, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, mangsa yang berusia dua tahun dikatakan terperangkap di dalam Perodua Myvi bersama dua lagi mangsa dipercayai ibu bapanya yang berusia lingkungan 20-an.
Kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan itu dikatakan bertembung dengan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandu seorang wanita.
Susulan kejadian itu, pihak bomba bersama orang ramai membantu mengeluarkan tiga beranak berkenaan sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun bayi berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dirawat manakala mangsa lelaki dipercayai bapanya yang juga pemandu kereta parah akibat patah paha kanan dan kaki kiri.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.45 pagi berhubung kemalangan itu.
Beliau berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi kemalangan pada jam 7.58 pagi bagi melakukan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kereta Perodua Myvi berkenaan masih berada dalam parit kawasan sawah berkenaan.
“Pemandu Myvi iaitu lelaki berusia 20-an patah paha kanan dan kaki kiri, manakala penumpang wanita berusia 20-an turut cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang cedera dari kenderaan berkenaan.
Katanya, wanita yang juga pemandu Perodua Alza turut dihantar bagi mendapatkan rawatan.
Operasi tamat pada jam 8.54 pagi. – BH Online