KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan lebih 10 kes lama berprofil tinggi akan dibuka semula untuk siasatan jika ada keperluan dan bukti tambahan.
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, berkata terlalu banyak kes yang dibangkitkan kepadanya, sebahagian sudah ditutup, namun beliau tidak pasti sebab sebenar ia ditutup.
“Akan ada banyak (kes) kerana setiap orang kelihatan seperti ada ‘pet file’. (Ada bertanya) kenapa anda tidak berurusan dengan (kes) Sarawak, Teoh Beng Hock, banyaklah kes sehingga saya tidak boleh sebut senarai sebab terlalu banyak.
“Sebahagian daripadanya saya diberitahu ‘sudah ditutup’. Orang sentiasa beritahu saya terdapat kes (bagi fail yang ditutup), jadi saya perlu berurusan dengan kes terbabit.
“Saya terima memo demi memo mengenai kes yang diberitahu ‘tidak ada kes’ dan saya terima maklumat serta bukti tambahan. Jadi, saya perlu lihat kembali fail itu dan periksa semula sama ada ia ditutup secara baik atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum “Pendedahan Rasuah Melalui Ketelusan Pemilikan Bermanfaat” di sini, hari ini.
Semalam, Latheefa berkata, SPRM akan membuka semula beberapa kes lama yang membabitkan kepentingan awam.
Beliau juga dilapor sudah mengeluarkan satu arahan umum supaya kes berkenaan disemak semula kerana pihaknya memang ada menerima beberapa aduan yang membabitkan kes seperti itu. – BH Online