PONTIAN – Proses permohonan mendapatkan permit bagi tujuan berkempen dari rumah ke rumah semasa pilihan raya sangat mudah iaitu pemohon hanya perlu mengisi lebih kurang 12 perkara yang melibatkan butiran pemohon, kata polis.
“Nama, kad pengenalan, nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan, pekerjaan, alamat pemohon dan sebagainya,” kata Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Pontian hari ini.
Beliau berkata keperluan permit ini mengikut peruntukan Seksyen 24(B) Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Permit ini dikeluarkan bagi boleh kita untuk memudah cara pemantauan, bagi memastikan perkara berkaitan keselamatan sentiasa diberikan keutamaan,” tambahnya.
Ditanya pemberita kenapa permit rumah ke rumah hanya diumumkan sekarang, Kamarudin menjelaskan apa-apa yang melibatkan kempen sememangnya perlu mendapatkan permit, tidak kira dalam bentuk ceramah atau rumah ke rumah.
“Katakan rumah ke rumah untuk tujuan kempen, mesti dapatkan permit polis. Kalau tujuan untuk ziarah dan tidak melibatkan kempen, tidak timbul isu permit,” tambahnya.
Turut hadir pada sidang media hari ini Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Johor, Shafie Taib; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Johor, Md Yusof Ahmad; dan Ketua Polis Pontian, Mustafa Bakri Salleh.
SPR semalam memaklumkan polis meminta semua parti dan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai supaya mendapatkan permit bagi kempen rumah ke rumah kerana ia juga suatu bentuk berkempen.
Polis hari ini berkata setakat ini belum ada isu permit kempen rumah ke rumah tidak diluluskan.
“Setiap permohonan permit diminta pihak calon semua kita luluskan dan tiada masalah,” katanya.