KUALA LUMPUR – Orang ramai rata-rata bersetuju dengan tindakan mogok kumpulan penghantar makanan dalam talian, Foodpanda dan mengharapkan pembelaan sewajarnya bagi golongan itu.
Menurut komen Akakrileks melalui Twitter miliknya, @__nisx berkata, “Kat pejabat ke kat rumah ke abang-abang foodpanda lah yang tolong masalah gastrik atau penat pastu aku nak makanan cepat. Rasa macam nak turun mogok sekali je. Sebagai pengguna, aku tidak setuju foodpanda buat ‘rider’ macam ini,” tulisnya.
Bagi Azril Syazrin, dia berkata Foodpanda tidak boleh menganiayai penghantar makanan mereka, “Tabah la bro. Kebelakangan ini saya selalu juga pesan foodpanda. Rata-rata ‘rider’ hantar makanan saya semua berbudi bahasa dan penghantaran cepat. Tak pernah saya buat aduan. Harap foodpanda jangan buat hal pada ‘rider’. Tanpa mereka, tidak jalan bisnes foodpanda,” katanya.
Syamil Shahimi pula berkata, “Selalu sangat jadi seperti ini. Masa mula-mula masuk ‘market’ diberi insentif sana sini, bila dah popular dah stabil, dia ubah polisi untuk ‘maximize profit’ sehingga abaikan rakan kongsi. Foodpanda ke, Grab ke, Uber ke, semua buat perangai,” tulisnya.
Komen-komen warga maya itu ditulis pada ruangan status penghantar makanan Foodpanda sendiri iaitu saudara Abdo menerusi akaun Twitter miliknya, @akhdgaf pada Jumaat lalu yang dimuat naik pukul 11.45 malam, “Penuh rider foodpanda dekat Mid Valley Southkey, Johor Bahru malam ini buat mogok dan bantahan,” tulisnya.
Status berkenaan telah menjadi tular dan mendapat 235 komen, lebih 5,066 tanda suka serta 7,816 ulang kicau.
Abdo turut memuat naik status semalam pada pukul 8.05 malam dengan berkata, “Alhamdulillah ‘guys’ @SyedSaddiq sudah notis pasal isu ni. Terima kasih banyak-banyak!” tulisnya.
Dia dan semua penghantar makanan Foodpanda menarik nafas lega apabila isu bantahan terhadap skim pembayaran baru oleh syarikat itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam serta mengharapkan nasib mereka sebagai ‘rider’ terbela. – UTUSAN ONLINE

