PETALING JAYA – Pelakon AR Badul menarik balik permintaannya supaya diadakan inkues bagi mencari punca kematian anaknya, Mejar Mohd Zahir Armaya yang tertembak ketika demonstrasi latihan pada 4 September lalu.
Berita Harian melaporkan Badul atau nama penuhnya Armaya Aman Ramlie, 70, berubah fikiran selepas memahami kronologi kejadian tersebut seperti yang dijelaskan pengurusan kanan Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Sebagai ayah, sudah tentu saya bersedih dengan kehilangan anak secara tiba-tiba hingga emosi mengatasi pertimbangan.
“Tambahan pula, ketika itu tiada mana-mana pihak membuat susulan selepas kejadian menimpa Allahyarham, kecuali apa yang dipaparkan media.
“Namun, selepas bertemu pegawai tertinggi TDM dan diberi penerangan terperinci, saya batalkan niat mahu inkues dibuat,” kata Badul memetik laporan itu.
Sebelum ini, Badul mahu inkues diadakan susulan insiden anaknya Zahir maut akibat tertembak ketika gimik pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah.
“Punca kematian tidak diberitahu cuma dikatakan meninggal dunia sebab tertembak. Tertembak di mana, kita tak tahu…tiada khususnya.
“Bedah siasat ada dibuat, tapi tidak diterangkan. Katanya mati di hospital…kalau mati di situ (lokasi kejadian) pun kita tak tahu,” kata Badul.
Terdahulu, TDM mengesahkan kematian Zahir sebagai satu kemalangan dalam latihan dan keputusan itu dibuat lembaga siasatan tentera darat yang mengklasifikasikan ia sebagai kejadian terpencil.
Zahir, 36, dilaporkan meninggal dunia pada 9.20 pagi 4 September lalu di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan pada hari sama.
Beliau yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur meninggalkan seorang balu dan lima anak berusia lima bulan hingga sembilan tahun.