1. Kerajaan Pakatan Harapan akan meneliti cadangan untuk meningkatkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun di negara ini seperti yang dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura. Beberapa minggu lepas, kerajaan juga meluluskan usul “e-hailing” motosikal atau “GoJek” dengan alasan memberikan mata pencarian kepada anak muda. Dasar-dasar sebegini sebenarnya menemplak anak-anak muda yang dilihat menutup ruang pekerjaan kepada graduan yang baru tamat belajar, seterusnya diberikan “gula-gula” untuk memulakan alam pekerjaan dengan membawa GoJek. Kerajaan tidak konsisten dalam merangka dasar-dasar kepada anak muda.
2. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan memberikan alasan yang kukuh dan jujur kepada anak muda, bukannya alasan meningkatkan umur persaraan kepada 65 tahun kerana mengikut jejak langkah Singapura. Alasan sebegini tanpa kajian adalah tidak masuk akal. Kenapakah Malaysia perlu mengikut jejak langkah negara jiran, seperti Indonesia untuk membawa masuk GoJek, kini umur persaraan wajib seperti Singapura? Kita sudah merdeka 62 tahun dan seharusnya mempunyai pemikiran yang matang dan merdeka dalam merangka dasar-dasar negara.
3. Dari sudut ekonomi, Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng, perlu memberikan statistik dan kajian kepada seluruh rakyat Malaysia, tentang implikasi menaikkan had umur persaraan wajib kepada 65 tahun. Adakah dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) makin menguncup disebabkan ketidaktentuan pelaburan dana KWSP sejak Pakatan Harapan memerintah negara lebih setahun? Penjelasan harus diberikan kepada rakyat Malaysia kerana jika dasar ini dilaksanakan, setiap individu yang menyimpan di dalam KWSP tidak akan dibenarkan mengeluarkan caruman mereka hingga umur 65 tahun.
4. Dari sudut pentadbiran, Menteri-Menteri Kabinet hari ini seolah-olah tidak membincangkan hal ini di dalam Mesyuarat Kabinet setiap minggu. Menteri Sumber Manusia mengumumkan perkara ini di media, kemudian Menteri Belia dan Sukan tidak bersetuju dan mengumumkan di media sosial. Menteri Sumber Manusia pula berkata perbincangan dan kajian dijalankan bersama Menteri Kewangan. Kecelaruan sebegini menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini. Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, menggunakan media sosial untuk meraih simpati anak muda, walhal perkara sebegini seharusnya dikaji dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum Menteri-Menteri membuat kenyataan. Rakyat sudah mual dan muak dengan permainan politik murahan sebegini, iaitu 3U “Umum-Ulas-Uturn”.
Selamatkan Malaysiaku!
#SelamatkanMalaysiaku #SaveMyMalaysia #PemudaMemimpin #PemudaIkatan #Ubahbalik
Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera