“IBARAT mimpi jadi nyata dan bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya, saya dapat merasai peluang itu walaupun hanya sehari,” kata Norsalynata Salim, 37.
Norsalynata memberi reaksi itu ketika ditanya perasaannya selepas terpilih untuk sebagai salah seorang daripada 10 pemenang #bacaberitachallenge anjuran TV3.
Menerusi kemenangan itu, Norsalynata berpeluang merasai pengalaman sebagai penyampai berita di studio Sri Pentas, TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Norsalynata juga mencuri perhatian warganet yang rata-ratanya memuji kebolehan wanita itu selepas rakaman videonya membaca berita tular di laman sosial.
Bercerita lanjut, Norsalynata yang kini menetap di Johor Bahru, Johor berkata, minat membaca berita ada dalam dirinya sejak berusia tujuh tahun lagi dan bakat itu turut diketahui keluarga dan rakan terdekat.
“Sejak kecil lagi saya suka menonton berita dan gemar meniru cara serta gaya penyampai cuma tiada rezeki untuk pergi lebih jauh dalam bidang itu.
“Malah, saya juga mulanya tidak yakin menyertai #bacaberitachallenge kerana merasakan peluang itu lebih terbuka kepada golongan muda tetapi suami, Mohamad Khir Jafar, 43 dan anak-anak yang memberi galakan untuk turut serta.
“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya apabila diumumkan sebagai salah seorang pemenang cabaran itu pada 30 Ogos lalu menerusi kiriman e-mel,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Di sebalik pengalaman manis itu, Norsalynata berkata, ada cabaran yang dilaluinya sebelum menjejakkan kaki ke studio Sri Pentas TV3.
“Dua hari sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, badan saya tidak sihat berikutan masalah jerebu yang teruk di Johor Bahru dan keadaan itu juga menyebabkan tekak saya perit.
“Keadaan itu berterusan sehingga hari rakaman hingga suara saya jadi serak. Namun, keluarga dan kru TV3 memberi sokongan hingga saya dapat kekuatan untuk melakukan tugasan itu sehingga rakaman selesai.
“Macam tidak percaya apabila melihat kembali rakaman video berkenaan dan ia satu pengalaman berharga yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya yang juga ibu kepada empat anak.
Mengenai hala tujunya, bekas pramugari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa itu berkata, dia tidak meletak harapan tinggi untuk menjadi penyampai berita tetapi sedia mempertimbangkan tawaran sekiranya ada.
“Ikutkan hati mahu (menjadi penyampai berita) tetapi tidak yakin ada harapan selepas melihat faktor usia melainkan ada rezeki saya untuk mengembangkan bakat.
“Penyertaan saya dalam #bacaberitachallenge itu juga sekadar untuk mencabar kemampuan diri dan memanfaatkan bakat kurniaan Allah SWT.
“Malah, rakaman video di Twitter itu juga dimuat naik anak sulung saya, Putri Nur Arisya tanpa pengetahuan saya. Alhamdulillah, ramai yang memberi kata semangat tidak kurang juga kecaman tetapi saya terimanya dengan hati yang terbuka,” katanya. – myMetro Online