LANGKAWI – Seorang pelancong lelaki warga Perancis maut akibat digilis sebuah kereta di Jalan Temoyong, Kampung Temoyong di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, mangsa, Bilel Fadloun Saber, 21, yang menunggang skuter jenis Modenas Karisma maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa menunggang skuter secara bersendirian menghala ke arah Pantai Chenang di sini.
“Mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya tetapi gagal lalu terjatuh di laluan bertentangan.
“Sebuah kereta jenis Honda Accord yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu melanggar mangsa kerana jarak terlalu dekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, mangsa yang cedera parah pada anggota badan maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk dibedah siasat. kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita juga meminta saksi kejadian agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.