PETALING JAYA – Wakil rakyat wanita yang dikaitkan dengan menteri besar Selangor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya.
ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata laporan sudah dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkenaan dakwaan itu, yang disebarkan melalui laman “Aku Darah Anak Malaysia-ADAM” di Facebook pada 9 Julai lepas.
“Pihak kami akan memantau kes ini dengan sepenuhnya untuk menentukan langkah selanjutnya.
“Apa yang pasti adalah ia fitnah dan saya menegaskan bahawa saya tidak berada di lokasi itu pada tarikh yang didakwa itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan seorang ADUN wanita, dan pihaknya juga sudah berbincang dengan peguamnya.
Dakwaan itu dilaporkan timbul berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu. – FMT