GENEVA – Dianggarkan kira-kira 1,700 penduduk Palestin yang cedera akibat terkena tembakan pasukan tentera rejim Zionis bakal berdepan dengan risiko cacat dalam tempoh dua tahun akan datang apabila anggota badan yang cedera terpaksa dipotong akibat kekurangan bekalan perubatan.
Penyelaras Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jamie McGoldrick berkata, sebanyak 29,000 penduduk Palestin cedera dalam siri tunjuk perasaan pada tahun lalu dan 7,000 daripadanya mempunyai luka tembakan terutamanya pada bahagian kaki.
“Terdapat kira-kira 1,700 pesakit dalam keadaaan kritikal dan memerlukan bantuan perubatan segera termasuk proses pembedahan yang sukar bagi membolehkan mereka berjalan semula.
“Mereka merupakan golongan yang amat memerlukan prosedur pemulihan dan jika tindakan itu gagal dilakukan, penduduk Palestin ini bakal kehilangan kaki dan menjadi cacat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Arab News.
Sehubungan itu, PBB berusaha memohon dana berjumlah AS$20 juta (RM83 juta) bagi memenuhi jurang perbelanjaan kesihatan untuk penduduk Palestin.
SEJUTA PENDUDUK TERJEJAS
Selain itu, McGoldrick menjelaskan, kekurangan dana dalam Program Makanan Sedunia (WFP) dan Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) juga boleh menjejaskan bekalan makanan untuk sejuta penduduk Palestin.
“Sekiranya bantuan dana dihentikan, tiada alternatif untuk penduduk mendapatkan bekalan makanan kerana mereka tidak mempunyai kuasa membeli,” jelasnya.
Jurucakap WFP, Herve Verhoosel pula berkata, kekurangan sumbangan dana yang besar sebelum ini menyebabkan agensi tersebut terpaksa memotong bantuan untuk 193,000 penduduk di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat pada tahun ini dengan 27,000 daripadanya tidak memperoleh apa-apa.
HUTANG BELENGGU KEHIDUPAN
Dalam pada itu, kira-kira dua juta penduduk Palestin di Gaza juga berdepan situasi sukar, ditambah dengan sekatan oleh rejim Zionis.
Menurut McGoldrick, secara purata setiap keluarga di Gaza berdepan dengan jumlah hutang sebanyak AS$4,000 (RM16,607) sedangkan mereka hanya memperoleh gaji bulanan AS$400 (RM1,660), selain 54 peratus daripada populasi tersebut tidak mempunyai pekerjaan.
Sementara itu, para artis Palestin menyeru barisan bintang Eurovision supaya memboikot pertandingan nyanyian antarabangsa yang dianjurkan oleh Israel minggu depan.
Menurut Persatuan Artis Palestin di Semenanjung Gaza, Israel menggunakan pertandingan tersebut untuk ‘mempromosikan rejim aparteid’.
“Lebih 60 penduduk Palestin terbunuh dalam siri tunjuk perasaan di Gaza pada 14 Mei tahun lalu, hari yang sama Israel memenangi pertandingan Eurovision,” jelas persatuan tersebut. – Agensi

