SHAH ALAM – Polis memaklumkan siasatan pihaknya tidak menemukan sebarang kesan brek di atas jalan raya lokasi kemalangan yang meragut 11 nyawa di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 11.10 malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan polis.
“Siasatan di lokasi, tak ada kesan brek kelihatan dan kita akan siasat dengan lebih mendalam untuk kenal pasti bagaimana kemalangan ini boleh berlaku.
“Siasatan juga akan menjurus sama ada pemandu terlibat dengan dadah atau sebaliknya ataupun mengantuk,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Noor Azam menambah, proses bedah siasat ke atas mangsa yang meninggal dunia sedang dilakukan.
“Yang cedera parah juga ada dan kini sedang dirawat di hospital,” katanya.
Terdahulu dalam kejadian jam 11.10 malam itu, perjalanan ke tempat kerja 43 orang berakhir tragedi apabila 11 daripadanya maut berikutan bas yang dinaiki terjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter.
Lapan warga asing dan pemandu bas tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi mangsa warga asing meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.
Mangsa yang maut terdiri daripada lapan lelaki dan tiga perempuan merupakan warganegara Indonesia, Bangladesh dan Nepal termasuk seorang warga tempatan. – Sinar Harian