KUALA LUMPUR – Perunding politik, Datuk Habibul Rahman Kadir Shah mengesahkan wang yang diterima sebanyak RM2.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tu Razak adalah bagi tujuan rundingan dan risikan politik.
Habibul Rahman, 62, berkata, wang tersebut diterima melalui cek pada 2 Februari 2015 daripada bekas Perdana Menteri itu di kediaman rasminya di Putrajaya.
Beliau dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini berkata, cek berkenaan adalah atas nama Zulkarnain & Co., kerana urusan pengeluaran dan agihan wang itu diuruskan oleh peguam peribadinya iaitu Ashraf Abdul Razak.
“Wang berkenaan bukan untuk saya tetapi pembayaran balik untuk operasi politik yang saya lakukan termasuk bagi risikan dan pertahanan politik.
“Biarpun begitu cek tersebut saya letakkan atas Zulkarnain & Co. untuk diuruskan oleh peguam peribadi selain bagi mengelakkan dikenakan cukai pendapatan,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari ke-11 perbicaraan melibatkan Najib.
Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC. – UTUSAN ONLINE

