KUALA LUMPUR – Enam negeri bersetuju menaikkan kadar tarif air, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini, kata menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.
Xavier Jayakumar berkata persetujuan itu dicapai hasil rundingan kementerian bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih lagi berjalan ketika ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan 6 negeri tersebut.
“Sekarang konsultasi mengenai kadar tarif air masih diteruskan, dan tidak lama lagi 2 lagi negeri akan bersetuju untuk menaikkan tarif air,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang mahu tahu justifikasi kementerian terhadap cadangan menaikkan tarif air di Malaysia dan penetapan had harga siling bagi setiap negeri.
Menurut Xavier, kadar tarif air di seluruh negara sepatutnya dinaikkan 2 atau 5 tahun lepas kerana kenaikan kos operasi tahunan tidak diimbangi dengan tarif yang setara, sekali gus meletakkan beberapa operator air dalam kedudukan kewangan yang sukar untuk memberi perkhidmatan air yang berkualiti.
Dalam pada itu, mengenai penetapan harga siling, beliau berkata ia berbeza mengikut negeri, termasuk berdasarkan keupayaan operasi.