KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan dua anggota polis dan seorang individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes menerima wang suapan bernilai RM9,700, semalam.
Kedua-dua anggota polis masing-masing berusia 25 dan 27 tahun itu ditahan antara jam 5 hingga 6.20 petang, manakala lelaki yang berusia 45 tahun ditahan jam 10.45 malam.
Sumber berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan di Pejabat SPRM Negeri Kelantan selepas hadir memberi keterangan.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua anggota polis berkenaan menerima wang suapan sebanyak RM9,700 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum.
“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap semua suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi ini.
“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Ramli Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan. – BH Online