GEORGE TOWN – Seorang suri rumah warga Amerika Syarikat (AS) ditemui mati di dalam sebuah bilik di rumah keluarganya di Island Glades, Jelutong di sini semalam disyaki akibat dibunuh.
Mangsa, Chin Geok Heong, 60, ditemui tidak sedarkan diri kira-kira pukul 4.20 pagi sebelum dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Pulau Pinang di sini mendapati dia mati akibat lemas dan serangan jantung disyaki dibunuh oleh suaminya.
“Mangsa dikatakan ada bergaduh dengan suaminya berusia 62 tahun kira-kira pukul 2.30 pagi selepas adik mangsa terdengar bunyi bising di dalam bilik mereka.
“Suspek dipercayai telah menekup muka mangsa dengan kedua-dua tapak tangan sehingga menyebabkan dia lemas dan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Che Zaimani, suami mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pasangan tersebut merupakan kelahiran negara ini dan telah mendapat kerakyatan AS.
“Pasangan berkenaan berada di negara ini sejak 19 Januari lalu sempena meraikan Tahun Baru Cina di rumah keluarga.
“Mereka juga sepatutnya pulang ke AS hari ini,” katanya lagi.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

