KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji samada persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dibuat pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh dibatalkan oleh Parlimen.
Menurut Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, sekiranya ia boleh dibatalkan, kerajaan boleh membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya yang baharu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
SPR ujar beliau memiliki tempoh tidak lebih dua tahun bagi mengkaji dan membuat cadangan meminda persempadanan semula yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.
“Kami sedang meneliti kaedah untuk mengkaji semula persempadanan sebelum ini. Jika itu tidak boleh dilakukan, kita akan melihat semula kaedah persempadanan semula itu dibuat dan diluluskan di Parlimen tahun lalu.
“Kita akan mengkaji impak ekonomi dan kaum serta corak pengundian, selain melihat samada ia dilakukan secara adil atau tidak, sebelum mengusulkan cadangan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Meja Bulat Reformasi Pilihan Raya di Parlimen, Rabu.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, SPR tidak boleh mencadangkan pindaan persempadanan semula kawasan pilihanraya secara langsung kerana Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan antara lain memperuntukkan hanya boleh dilakukan dalam tempoh lapan tahun selepas persempadanan terakhir.
“Peruntukan jelas bahawa kajian persempadanan semula hanya boleh dijalankan sekali dalam tempoh lapan tahun.
“Kalau perkara itu dipinda, maka bolehlah (terus dipinda). Tapi kita cuma nak kaji sama ada Parlimen boleh membatalkan (persempadanan semula) yang lepas,” katanya.
Pada 28 Mac tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan pilihanraya, dengan 129 Ahli Parlimen menyokong, manakala 80 lagi menolaknya, selepas pengundian dijalankan secara belah bahagi.
Persempadanan semula yang dibentangkan ketika itu, menyaksikan 12 kawasan Parlimen dan 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit dengan pindaan nama.
Bagaimanapun, pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang sama rata bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN didakwa sukar dilaksanakan berikutan kekangan topografi dan demografi.
Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkang ketika itu, menyifatkan persempadanan semula yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN), adalah penipuan dan amalan gerimander. – Agenda News