PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula mulai 1 April 2019 kepada 1 Julai 2019 bagi memberi tempoh mencukupi kepada industri pengeluar minuman untuk membuat persediaan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, penangguhan itu juga memberi ruang kepada Jabatan Kastam membuat persiapan sewajarnya termasuk mengadakan jerayawara dan melesenkan pengilang minuman bergula di bawah Akta Eksais 1976.
“Kerajaan telah menerima maklum balas dan pandangan daripada pihak industri pengeluar minuman terhadap cadangan pengenaan duti eksais tersebut.
“Setelah mengambil kira pandangan semua pihak, kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula mulai 1 April 2019 kepada 1 Julai 2019,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan telah mengumumkan dalam Belanjawan 2019 mengenai cadangan untuk memperkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum dengan nilai ambang kandungan gula.
Berdasarkan pengumuman itu, air minuman di bawah kepala kod tarif 22.02 yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi lima gram per 100 mililiter (ml) dan jus buah-buahan dan sayur-sayuran di bawah kepala kod tarif 20.09 yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100ml.
Dalam pada itu, Subromaniam berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan nilai ambang kandungan gula daripada 5 gram per 100ml kepada 7 gram per 100ml bagi produk minuman berasaskan susu yang mengandungi laktosa (flavoured milk) di bawah kepala kod tarif 22.02, tidak termasuk produk minuman susu soya.
“Kenaikan nilai ambang bagi produk ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha untuk terus menggalakkan pengambilan produk berasaskan susu yang mengandungi paras kandungan gula yang lebih sihat di kalangan pengguna,” ujar beliau.