PUTRAJAYA – Dua rakyat Malaysia disahkan terkorban dalam bencana gempa bumi berskala 5.8 Richter yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia semalam.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, dua mangsa warga Malaysia itu ialah Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah.
“Sehingga kini, seramai tujuh orang rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan di hospital tempatan.
“…manakala 13 orang rakyat Malaysia yang lain dilaporkan selamat. Kesemua mereka dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara semasa bencana tersebut melanda,” katanya di sini, hari ini.
Wisma Putra menjelaskan, pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta kini berada di Lombok bagi memantau keadaan semasa di samping menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada para mangsa yang terlibat.
Menurutnya, rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu disarankan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 813 8081 3036.
“Warganegara Malaysia yang berada di Indonesia atau ingin merancang perjalanan ke negara ini juga adalah dinasihatkan untuk mendaftar dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia melalui pautan https://goo.gl/ixYVfy,” katanya.

