“DEBARAN nak naik pelamin sangat berbeza. Rasa berdebar ketika hendak membuat persembahan nyanyian pun tidak sehebat ini.”
Demikian ungkapan anggota kumpulan Forteen, Ameer, sebelum diijabkabulkan dengan pasangannya, Siti Nurnaja’a Shamsul Kamar, hari ini.
Pasangan terbabit dinikahkan abang pengantin perempuan, Muhd Haqem, jam 4.08 petang tadi di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi Taman Melati, di sini, dengan disaksikan anggota keluarga dan saudara terdekat kedua-dua pihak.
Pada majlis itu, Ameer atau Mohd Arif Ameerais Azhar, 29, yang sah bergelar suami dengan sekali lafaz menyerahkan wang hantaran berjumlah RM10,000, mas kahwin RM300 dan tujuh dulang hantaran kepada isteri, berbalas sembilan.
“Syukur semuanya selamat. Kini, bermulalah fasa baharu kami berdua sebagai suami isteri. Insya-Allah, kami akan sama-sama menjaga kerukunan rumah tangga yang baru dibina ini.
“Kalau tiada aral melintang, kami akan berbulan madu di Bali, Indonesia, kemungkinan besar selepas Aidilfitri nanti,” katanya kepada BH Online.
Ameer bertunang dengan Siti Nurnaja’a, 24, pada 13 Oktober tahun lalu di Setapak, selepas lebih setahun berkenalan menerusi media sosial.
Diusik dengan pertanyaan mengenai cahaya mata, kata Ameer, kalau rezeki menyebelahi diri, mereka memang teringin memiliki anak yang ramai.
“Kalau dapat anak lelaki nanti, bolehlah juga saya fikirkan mengenai penubuhan kumpulan penyanyi bagi meneruskan legasi seni,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kata Ameer, dia kini mula sibuk mempromosikan single terbaru Forteen berjudul Diam Saja.
Lagu berkenaan adalah karya pertama dirakam mereka tanpa kehadiran Izzue Islam yang meninggalkan kumpulan itu pada November tahun lalu. – BH Online