CAPE TOWN – Sebuah restoran kecil yang terletak di perkampungan nelayan Afrika Selatan dinobatkan sebagai restoran terbaik di dunia kelmarin.
Pada setiap hari, cef Kobus van der Merwe (gambar) yang mula memasak secara serius ketika berusia 30 tahun akan mencari ramuan asli berdekatan restorannya, Wolfgat. Beliau juga membuat roti dan menteganya sendiri.
Restoran van der Merwe itu terletak di tepi sebuah pantai menghadap Lautan Atlantik di Cape Barat dan dibuka dua tahun lalu. Beliau menjadikan sebuah kotej berusia 130 tahun sebagai premisnya dan dikendalikan oleh enam pekerja, kebanyakannya wanita.
Set menu mengandungi tujuh hidangan di restoran itu berharga sekitar AS$60 (RM245), jauh lebih murah berbanding harga di restoran terkemuka Paris.
Bagaimanapun, persekitaran yang sederhana dan konsep masakan kembali kepada asal yang diamalkan oleh van der Merwe, 38, berjaya menambat hati panel hakim Anugerah Restoran Sedunia di ibu kota Perancis, Paris.
“Saya tidak sabar untuk meraikan kejayaan ini bersama kakitangan saya,” katanya kelmarin.
Antara hidangan istimewa di restoran Wolfgat termasuk rumpai laut, ikan layang-layang bersama sambal bokkom dan masala bawang putih, kupang serta kerangan lain serta sayuran laut.
Van der Merwe mencipta resipi uniknya berdasarkan masakan masyarakat Melayu Cape Town di Afrika Selatan. – Agensi