PERTH – Seorang wanita telah berkongsi rahsia untuk menghalau lalat dengan hanya menggunakan air, plastik kedap udara dan beberapa keping duit syiling selepas mempelajarinya daripada seorang rakan yang membuka kedai makan.
Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu mendedahkan rahsia itu menerusi akaun Facebooknya.
Pada mulanya, dia terkejut melihat beberapa beg plastik kedap udara diisi dengan air bersama duit syiling yang digantung di sekeliling kedai rakannya itu.
“Air separuh penuh diisi dalam setiap beg plastik itu. Setiap beg itu juga diisi dengan empat keping duit syiling. Saya melihat beberapa ekor lalat terbang masuk melalui tingkap restoran yang terbuka, berlegar seketika dan kemudian terbang keluar semula,” katanya.
Selepas membuat carian di internet, dia menemui beberapa individu lain turut mencuba kaedah tersebut dan mendakwa cara ringkas itu memang berkesan bagi menghalau lalat.
Seorang individu memberi penjelasan saintifik bahawa kaedah itu berjaya disebabkan molekul air memantulkan cahaya ke mata lalat sehinggakan serangga itu pening kerana terlalu banyak pancaran cahaya dan warna sehingga menyilaukan penglihatannya. – Agensi