PEKAN – Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang bakal dimasyhurkan menjadi Tengku Ampuan Pahang yang kelima pada 29 Januari ini di Istana Abu Bakar adalah seorang puteri raja yang amat disayangi oleh rakyat Pahang.
Tunku Azizah yang dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru 5 Ogos 1960, merupakan puteri ketiga kepada Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah dan dibesarkan oleh Tunku Zanariah Tengku Ahmad, tidak pernah menjadikan darah diraja yang mengalir dalam dirinya sebagai penghalang untuk mendekati rakyat.
Menyelusuri pendidikan awal Tunku Azizah, adinda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ini ketika kecilnya mendapat pendidikan bermula di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru.
Baginda yang juga dikenali dengan sifat prihatin dan kasih kepada rakyat, seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru, sebelum meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.
Tunku Azizah kemudiannya berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 6 Mac 1986.
Baginda berdua mempunyai empat putera dan lima orang puteri iaitu Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Iman Afzan, Yang Mulia Puteri Ilisha Ameera; Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Selain itu Yang Mulia Tengku Puteri Ilyana, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Dari segi keperibadiannya, Tunku Azizah juga cukup terkenal sebagai seorang yang amat meminati bidang masakan dan pernah menghasilkan tiga buah buku iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang yang diterbitkan pada 2007 dan buku Air Tangan Tengku Puan Pahang Manisan Tradisional Pahang serta Buku Masakan Tradisional Pahang yang dilancarkan pada 2018.
Dalam satu temubual bersama media, Tunku Azizah pernah memaklumkan minat baginda dalam bidang masakan antara lain disebabkan dorongan yang diberikan oleh Almarhum ayahanda baginda Sultan Iskandar.
Baginda mula masuk ke dapur seawal usia lima tahun di bawah pengawasan pengasuh dirajanya dan pernah mengikuti pendidikan masakan tidak formal di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI). – BERNAMA