MANILA – Pemanjat bebas Perancis, Alain Robert ditangkap semalam, kata polis, selepas dia memanjat menara antara tertinggi di ibu kota Filipina, Manila.
Robert, 56, yang digelar ‘Spiderman Perancis,’ memanjat Menara GT setinggi 47 tingkat tanpa sebarang peralatan keselamatan dan mengejutkan orang ramai yang melihatnya.
“Ini adalah haluan saya, cara hidup saya,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan aksi berbahaya tersebut.

Polis menahan Robert sebaik sahaja dia berpijak di tanah selepas percubaan tersebut yang mengambil masa sekitar dua jam.
Dia ditahan atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam dan menunggu keputusan pendakwa raya bagi mendapatkan persetujuan ikat jamin.
Robert memanjat lebih 100 struktur tanpa tali atau peralatan keselamatan lain termasuk Menara Eiffel, Rumah Opera Sydney, Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur dan Burj Khalifa di Dubai. – Agensi

