BERLIN – Somalia menjadi negara paling korap di dunia pada 2018 dengan Denmark menjadi negara paling bersih manakala kedudukan Amerika Syarikat pula terus jatuh dan terkeluar daripada senarai 20 negara paling bersih.
Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah 2018 yang dikeluarkan Transparency International, beberapa negara yang turut disenaraikan dalam kategori paling korap termasuk Syria, Korea Utara, Sudan, Afghanistan dan Libya.
Denmark pula menjuarai kedudukan sebagai negara paling bersih dengan mendapat 88 markah, diikuti New Zealand, Finland, Singapura, Sweden dan Switzerland.
Menurut organisasi itu, senarai kedudukan berkenaan menggambarkan kemerosotan terhadap undang-undang dan institusi demokrasi serta ruang untuk masyarakat sivil serta kebebasan media.
“Kajian kami dapat menunjukkan dengan jelas kaitan antara demokrasi yang sihat dan kejayaan membanteras rasuah sektor awam.
“Apabila asas demokrasi itu lemah, rasuah akan berleluasa. Kita sudah melihatnya di banyak negara apabila ahli politik populis dan tidak demokratik menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri,” kata ketua Transparency International, Delia Ferreira Rubio.
Manakala Malaysia pula berada di kedudukan 61 diikuti dengan Indonesia pada tangga ke-89, Filipina dan Thailand (99) dan Vietnam (117).
Indeks turut menunjukkan kedudukan Amerika Syarikat yang semakin merosot apabila buat kali pertamanya sejak 2011 ia terkeluar dari senarai 20 negara paling bersih.
Sejak 2012, terdapat 20 negara yang memperbaiki kedudukan termasuk Argentina dan Ivory Coast yang masing-masing mendapat 40 dan 35 markah berbanding 35 dan 29 sebelumnya.
Pada masa sama, kedudukan 16 negara menunjukkan kemerosotan termasuk Australia dengan markah 77 berbanding 85 manakala Chile pula mendapat markah 67 berbanding 72. – Agensi