MADRID – Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo akan kembali ke Madrid Selasa ini bagi menghadiri perbicaraan kes penipuan cukai sewaktu bersama Real Madrid.
Pemain berusia 33 tahun itu boleh dipenjara sehingga 24 bulan selain perlu membayar denda jika didapati bersalah.
Ronaldo yang juga pemain antarabangsa Portugal dilaporkan akan mengaku bersalah pada perbicaraan tersebut selepas dia bersetuju untuk membuat pembayaran cukai berjumlah $21.43 juta (RM88.13 juta) kepada pihak berkuasa Sepanyol pada musim panas lalu.
Laporan media tempatan turut mendakwa, Ronaldo bakal terlepas hukuman penjara yang ditetapkan selama dua tahun atas kesalahan tersebut memandangkan ia adalah kesalahan kali pertama.
Selain perlu membayar cukai, Ronaldo juga perlu melangsaikan denda berjumlah €5.7juta (RM26.66 juta).
Ronaldo bakal turun membantu Juventus menentang Chievo pada Isnin sebelum bergegas ke Madrid untuk menghadapi perbicaraan tersebut.
Bekas pemain Manchester United itu pernah didakwa merogol wanita di Las Vegas 10 tahun lalu selepas salah seorang wanita membuat pengakuan tetapi kes tersebut masih dalam siasatan. – Agensi

