KUALA LUMPUR – Datuk Mazlan Mansor hari ini dilantik menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman yang baharu berkuatkuasa serta-merta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pelantikan bekas Ketua Polis Selangor itu adalah untuk menggantikan Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang memangku jawatan berkenaan sebelum ini.
Beliau berkata, Mazlan seorang yang berpengetahuan luas dan berpengalaman ketika menerajui polis kontinjen Selangor dan beliau masih meneruskan tugas-tugas sebagai Ketua Polis Selangor sehingga menemui pengganti baharu jawatan terdahulu beliau.
“Berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak pada tahun 2005 lepas, saya amat pasti beliau (Mazlan) bersedia dengan agenda transformasi JSJK tersendiri,” katanya selepas hadir majlis serah terima tugas pemakaian pangkat pegawai kanan polis dan penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Turut dilantik pada hari yang sama adalah Datuk Abd Rahim Jaafar sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman yang baharu berkuatkuasa serta-merta. – BERNAMA
